Saturday, March 22, 2014

Info Sihat Bersama I-Medik: Demam Denggi



Bersama;
Dr Muhammad Syamil Mohamad Salmi
Pengerusi I-Medik Selangor

Mukadimah 

Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan peningkatan kes denggi yang mendadak. Pada tahun 2013, terdapat sebanyak 19,872 kes dilaporkan, di mana 88 kes daripadanya berakhir dengan kematian.

Demam denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh Virus Denggi yang disebabkan oleh Nyamuk Aedes. Cara penyebarannya adalah melalui gigitan nyamuk daripada orang yang berpenyakit denggi kepada orang yang sihat.

Virus denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 hingga 14 hari sebelum menunjukkan gejala-gejala tertentu. Pesakit mungkin mengalami demam mengejut diikuti berbagai tanda-tanda dan gejala-gejala yang tidak khusus.

Apakah gejala-gejala demam denggi?

Antara gejala-gejala demam denggi adalah demam yang tinggi, sakit pada tulang-tulang dan otot-otot, sakit-sakit sendi, sakit pada bebola mata, ruam atau bintik pada kulit, pendarahan bawah kulit, hidung atau gusi, muntah-muntah, sakit perut dan ulu hati dan juga hilang selera makan.

Siapakah yang berisiko dijangkiti denggi?

Pada asasnya, semua orang berisiko untuk dijangkiti denggi, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan endemik seperti yang telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagaimana mencegah denggi?

Pertama sekali, pastikan diri anda dilindungi dari gigitan nyamuk. Anda boleh menggunakan bahan pembunuh nyamuk atau menggunakan jaring penghalang nyamuk di tingkap-tingkap rumah anda. Kedua, elakkan daripada melawat ke kawasan-kawasan berisiko tinggi pada siang hari, kerana nyamuk aedes sangaat aktif pada waktu tersebut.

Seterusnya, musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dengan cara-cara berikut; pastikan anda selalu menukar air di dalam pasu bunga atau bekas air. Pastikan juga anda menutup rapat bekas-bekas air tersebut. Anda juga boleh memasukkan ubat-ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas tersebut. Seterusnya, buangkan air dan basuh pengalaspasu-pasu bunga di rumah anda dan jangan lupa memeriksa saluran air hujan pada bumbung rumah anda dan buang apa jua bahan yang boleh menyekat saluran air.

Ingat! Pastikan persekitaran rumah anda bersih daripada punca pembiakan nyamuk.

Penutup

Sebagai pesanan akhir, jika anda mengalami demam berpanjangan dan mempunyai gejala-gejala denggi, segeralah bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Jika anda disyakki denggi, anda berkemungkinan di masukkan ke dalam wad atau dibenarkan pulang dengan pemantauan keputusan darah. Pastikan juga anda minum air sebanyak 2 hingga 3 liter sehari.

Saudara, denggi boleh membawa maut. Sayangilah diri dan keluarga anda dengan bersama mencegah denggi.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
- I-Medik -




0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © . Dunia Perubatan - Posts · Comments
Theme Template by BTDesigner · Powered by Blogger